Saturday 6 April 2013

CERPEN : Origami



Ramizah menghulurkan origami berbentuk Swan kepada Sakinah. Belum pun sempat Sakinah melebarkan pertanyaan kepada Ramizah, gadis itu sudah berlari keluar menuju ke kantin.

Sakinah menggaru-garu kepalanya yang dilitupi tudung putih itu. Siapa pula yang bagi ni, getus hatinya. Masuk origami ini, sudah beberapa kali dia menerima origami pelbagai bentuk dari orang misteri ini. Lelaki atau perempuan, dia kurang pasti. Tetapi penghantarnya Ramizah si gadis bisu anak kepada pekerja kantin sekolah. Kelmarin dulu, Ramizah mengirimkan origami berbentuk rama-rama kepadanya. Bila ditanya siapa yang beri, dia enggan menjawab. Terus sahaja dia melarikan diri.

Pelik..pelik. Sakinah menggelengkan kepala. Ingin bertanya lanjut, takut pula dia dikatakan perasan glamour pula. Lalu, Sakinah memutuskan untuk membiarkan sahaja persoalan itu tersimpan dimindanya. Setelah meletakkan origami Swan di dalam buku , dia terus menuju ke kantin.

Di kantin, dia duduk di satu sudut , bersebelahan sahabat karibnya Ain. Sakinah tidak sedar bahawa di satu sudut lain ada sepasang mata memandang Sakinah tanpa berkelip. Aman , seorang tukang cuci sekolah, yang baru 3 bulan berkhidmat memandang Sakinah dengan penuh minat. Sambil tangannya terus laju melipat sekeping kertas berwarna merah jambu. Lama-kelamaan kertas itu bertukar bentuk menjadi seekor burung merpati yang indah. Di letakkan diatas meja makan Sakinah yang masih berbaki airnya. Ketika origami merpati itu diletakkan di meja, Sakinah ke belakang kantin untuk membasuh tangan. Gadis berlesung pipit itu terkejut sekali apabila dia melihat merpati itu di tersandar di gelasnya. Tanpa berkata apa-apa, Sakinah terus mengambil origami itu dan bergegas masuk ke kelas.

Sakinah menghempaskan badannya di atas katil. Melepaskan lelahnya, sedari tadi menghabiskan karangan Cikgu Latipah. Tangannya mencapai 2 origami yang diterimanya serentak hari ini. Cantik. Lalu dia keluarkan beberapa origami lagi pemberian manusia misteri itu. Lipatannya kemas dan teratur. Sakinah kagum melihat kekemasan serta tahap kreatif penghantar origami ini. Dia mengeluh lagi, otaknya ligat berfikir. Siapa yang selalu beri origami pelbagai bentuk ini kepadanya. Sakinah memikirkan perkara ini sehinggalah dia terlelap dibuai mimpi,

Keesokkannya, seperti yang dijangka, sebelum dia sampai ke mejanya, terdapat 1 origami berbentuk hati, namun, hari ini, origami itu terdapat tulisan diatasnya. Sakinah membuka origami itu dengan cermat. Rupanya-rupanya origami itu adalah sehelai surat tanpa pengirim. Hatinya berdebar-debar membaca surat yang pendek itu. Surat itu seperti satu puisi yang dikarang khas buatnya. Dia membaca surat itu dengan teliti.


Senyummu membuai,
Tawamu membelai,
Setiap hari aku bernafas dengan harapan melihat matamu,
Indah dan membahagiakan,
Jika dulu,
Hari ku seperti neraka dunia,
Kini kau bidadari mengelilingi hidup ku yang seperti di syurga
Ku kirim sayang ini buatmu yang selalu dihati.

Sakinah terus membuang helaian surat itu. Seram. Itu yang dia rasa. Dia mengeluh lagi. Kali ini dia tekad, jika ada yang penghantar origami ini lagi, terutama sekali Ramizah, dia akan terus bertanya.

Tanpa disedari, Aman yang sedang memerhatikan Sakinah di satu sudut, tersentak dengan perbuatan Sakinah membuang puisi yang ditulis untukknya. Hatinya tiba-tiba panas. Rasa kasih seperti bertukar dendam. Dia belum kenal siapa aku, getus hati Aman. Pantang dia apabila origami buatannya, dibuang seperti sampah. Dia merenung Sakinah tajam. Sakinah langsung tidak perasan. Dia terus meluru laju ke bilik tukang kebung yang berada di belakang sekolah.

Imbas kembali….

Diluar sebuah rumah flat , kedengaran suara kasar seorang lelaki, memarahi seorang kanak-kanak. Jeritan amarahnya itu diselang-selikan dengan hayunan rotan yang beberapa kali singgah di tubuh anak kecil itu. Tangisannya langsung tidak dapat melembutkan hati lelaki yang digelar bapa itu. Sang ibu, sudah lama pengsan akibat hentakan daripada sang suami yang tidak berhati perut itu. Setelah puas, lelaki itu terus melangkah keluar daripada rumah itu. Tinggallah budak lelaki tersebut disisi ibunya yang kaku.
Sejak hentakan tersebut, ayahnya hilang tanpa khabar, ibunya pula, akibat daripada tekanan dan hentakkan sudah menjadi tidak siuman. Yang tinggal, hanyalah budak tersebut. Tidak terurus. Dia hanya melipat-lipat kertas untuk dijadikan bentuk-bentuk yang menenangkan jiwa kanak-kanaknya. Dia menjadi anak jalanan. Kadang-kala dia menjual origami buatannya untuk sesuap nasi. Tidak seperti kanak-kanak lain yang seusianya yang sedang bergembira bersama keluarga, sedang dia melangkah di dunia seluas ini seorang diri. Jiwanya gersang kasih –sayang.

Meningkat awal remaja, hobinya membunuh binatang. Bila dia dapat melempiaskan perasaan marahnya, dia jadi puas. Lantas origami binatang yang telah dibunuhnya diletakkan disebelah jasad binatang yang tidak bernyawa. Apabila ada pelanggan yang meragui keaslian origaminya, tanpa berlengah dia akan membelasah orang itu sehingga separuh nyawa. Jiwanya kontang kasih-sayang. Baginya dunia ini bersalut kebencian.

Aman tersentak daripada lamunan. Dedaun pintu bilik tukang kebun menghentak-hentak ke dinding akibat ditiup angin.  Dengan amarah yang teramat sangat, dedaun pintu di terajang sehingga terkopak. Lalu dia keluar daripada bilik tersebut. Sakinah perlu diajar, bisik hatinya.

Di perhentian bas, yang agak terpencil daripada bangunan-bangunan lain , kelihatan Sakinah sedang duduk-duduk menunggu kedatangan kereta bapanya. Lambat pula ayah hari ni, dia bermonolog sendiri. Mulutnya tidak berhenti-henti menyedut air minuman yang di belinya semasa melalui gerai-gerai kecil ketika hendak ke perhentian bas. Sudah hampir satu jam dia menunggu. Bayang-bayang ayahnya belum pun muncul.

Ketika sedang ralit menunggu bapanya, Sakinah tidak sedar yang Aman sedang meluru laju kearahnya dengan sebilah pisau. Belum sempat , Sakinah bertindak apa-apa, satu penampar singgah di pipi gebunya menyebabkan dia pengsan.

Sedar-sedar, Sakinah berada disatu tempat yang asing baginya. Dia cuba mengingat kembali apa yang sebenarnya terjadi. Tiba-tiba, terdengar satu tawa yang menyeramkan. Penuh dengan misteri. Aman yang sedari tadi memerhatikan gerak-geri Sakinah, merenung gadis itu dalam-dalam. Sakinah memencilkan diri di satu sudut bilik itu. Airmatanya mula mengalir deras.

“ Kau kenal aku?” jerkah Aman.

Sakinah terdiam. Dia seperti pernah bertemu dengan lelaki ini. Wajah lelaki itu ditenung lagi. Ya , tidak salah lagi. Tukang kebun sekolahnya. Pipinya tiba-tiba terasa kebas.

“ Aku pemilik origami,” Sakinah tersentak dengan pengakuan itu. Rupa-rupanya dialah yang menghantar segala macam bentuk origami kepadanya. Sakinah bertambah takut. Lelaki ini kelihatan seperti kacau jiwanya. Atau lebih tepat lagi psiko.

Aman melekapkan tangannya ke kepala. Seperti ada satu bebanan yang tak tergalas olehnya. “ Aku cintakan kau separuh mati , perempuan. Aku buat bentuk-bentuk cantik untuk kau, kau buang macam sampah. Itu pantang aku. Kau memang cari mampus.” Gertaknya kasar. Matanya tidak berkelip-kelip memandang Sakinah.

Sakinah jadi tak tentu arah. Dia menjadi sangat takut. Orang-orang seperti ini mudah hilang pertimbangan. Dia tak mahu nyawanya terhenti di situ. Jika ditakdirkan dia mati sekalipun ketika ini, dia tidak mahu matu ditangan lelaki psiko ini.

Sepanjang hari dia bersama Aman dia hanya mendiamkan diri. Aman banyak menceritakan tentang kisah hidupnya yang penuh penderitaan. Kisah hidupnya yang kegersangan kasih. Dia banyak menangis. Sakinah tidak berani mengulas apa-apa. Dia hanya membiarkan Aman tenggelam dalam perasaannya. Sambil otaknya ligat mencari jalan keluar daripada penjara ini.

Tidak lama selepas itu, Sakinah mendapati Aman telah terlena keletihan. Ini peluang aku, getus hati Sakinah. Dengan penuh berhati –hati Sakinah, melangkah mencari jalan keluar daripada rumah kosong itu. Sakinah memijak anak-anak tangga perlahan-lahan. Dia tidak mahu Aman sedar sebelum dia sempat keluar.

Keadaan di tingkat bawah rumah sangat gelap. Hanya cahaya bulan yang membantu pergerakan Sakinah. Dia telah menemui pintu untuk keluar namun dia perlu mencari kuncinya. Dia cuba meraba-raba almari uzur yang terletak bersebelahan pintu tersebut. Tiba-tiba satu cahaya, seperti pemetik api  ditujukan kemukanya. Sakinah terperanjat. Aman!

Sakinah melarikan diri menjauhi Aman. Aman mengejarnya. Sakinah menyorok di satu sudut terpencil. Berharap agar Aman tidak ketemunya. Walaupun dia tahu lambat –laun Aman akan berjumpa tempat itu. Apabila dia merasakan bahawa derapan kaki Aman tidak kedengaran , dia mencuri-curi keluar daripada tempat persembunyiannya. Nasib tidak menyebelahi Sakinah, kerana Aman sudah berada disebelahnya dengan renungan yang penuh amarah dan pisau ditangan kirinya.

Rambut Sakinah ditarik kuat. Aman melalukan pisau ke seluruh tubuh Sakinah. Hanya airmata peneman Sakinah.
“ Kau nak lari, sayang.” Ucap Aman dengan penuh misteri. “ Kau nak lari ke mana. Tak siapa tahu tentang tempat ni. Hanya kau dan aku sahaja, sayang.”

“ Jangan bergerak. Kami polis!” kedengaran bunyi siren serta pembesar suara dari arah luar rumah. Aman terus mengemaskan pegangannya kepada Sakinah. Dia berkeras tidak mahu melepaskan Sakinah. Dia membawa Sakinah keluar rumah. Dia meletakkan pisau ke leher Sakinah. Dia mengugut untuk membunuh Sakinah jika polis menghalangnya.

Sakinah tiba-tiba mendapat kekuatan. Dia menendang Aman lalu terus berlari meluru kearah polis. Belum sempat Aman mengejar Sakinah, tiga das tembakan menembusi tepat ke dada Aman. Dia rebah disitu tidak bernyawa. Sakinah pula, pengsan kerana terlalu terkejut. Jasad Aman yang sudah tidak bernyawa terdampar dihalaman rumah bersama dendam yang tak terbalas.







No comments:

Post a Comment