Saturday 30 March 2013

CERPEN : Cermin



Aku hanyalah seorang gadis biasa. Kehidupanku juga biasa, seperti gadis-gadis yang lain. Namun begitu, tiada yang tahu kelebihan yang aku ada. Aku boleh melihat bayangan sebuah kematian. Pelikkan? Mesti orang diluar sana beranggapan kebolehan itu satu perkara yang hebat. Namun tidak bagi aku. Kalau bayangan yang menjelma itu cantik macam model baju, tidak apalah. Kalau sekacak Johnny Depp, aku suka. Tetapi, bayangan yang keluar itu berkeadaan yang mengerikan, penuh darah, mata tersembul. Jelmaan itu kebanyakannya muncul apabila aku terlihat cermin. Mana-mana cermin. Dan sejurus selepas itu aku akan mendengar berita kematian mereka. Menakutkan.

Sebenarnya bayangan yang aku dapat ini bukanlah sejak dari kecil.semuanya bermula apabila aku tersesat ketika berkhemah sewaktu di tingkatan 4. Pada suatu malam, ketika aktiviti night walk dijalankan, kami telah diasingkan. Kami dikehendaki untuk berada seorang diri di satu kawasan yang sunyi. Suasana malam di kawasan kelapa sawit itu sangat sunyi. Sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi burung yang bersahut-sahutan. Sekali-sekala diselang selikan dengan bunyi rumput dan lalang bergeser sesame sendiri. Aku yang berada agak jauh dari ahli kumpulan yang lain berasa sangat takut. Aku diam sendiri.

Dalam 10 minit aku berada disitu, aku merasakan seperti ada sesuatu mengusap-usap mataku yang kebetulan sengaja aku pejamkan supaya tidak nampak apa-apa yang tidak diingini. Tangan yang menyentuh kelopak mataku mengusap lembut sambil aku mendengar kalimat-kalimat seakan-akan berbisik sesuatu yang tidak kufahami. Aku ingin lari. Aku susun strategi sendiri. Tanpa membuka mataku, aku terus berlari laju walaupun aku sendiri tidak pasti jalan mana yang ingin ku tuju. Sesampainya aku ditapak kem, mereka yang lain terkejut melihat aku berlari sambil terjerit-jerit. Aku histeria. Beberapa minit selepas itu , aku mulai pulih dengan bantuan seorang senior yang pandai tentang perubatan alternatif ini.

Ku rasa sejak daripada peristiwa itulah pelbagai jenis bayangan muncul tanpa diundang. Aku masih ingat , kali pertama bayangan itu muncul ketika aku sedang sibuk membeli- belah beberapa bulan selepas kejadian di kem tersebut. Aku ke salon rambut bersama Kak Zaza. Ketika berada di salon, aku terpandang pada cermin. Tahu apa yang aku nampak? Aku nampak wanita yang sedang mendandan rambutku, berada dalam keadaan yang mengerikan. Bahagian tangan kanannya hancur, hingga mengeluarkan darah segar. Kepalanya terbelah menampakkan otak yang berkuit-kuit. Aku hampir menjerit. Namun , aku beranikan diri memandang wajah wanita yang mendandan rambutku. Diluar cermin, dia kelihatan seperti biasa,namun apabila aku memandang imejnya melalui cermin, bayangan buruk itu masih tetap berada disitu merenungku. Belum sempat selesai mendandan, aku terus lari keluar daripada salon tersebut.

Beberapa hari selepas itu, wanita tersebut dijumpai mati dilanggar lori besi betul-betul berhampiran salonnya. Secara tidak sengaja, aku berada ditempat kejadian. Ku lihat, mayat wanita tersebut memang mengerikan. Sama seperti imej yang aku lihat dalam cermin tempoh hari. Selepas kejadian itu, hampir seminggu aku demam kerana terkejut. Sejak dari kejadian itu, aku sering terlihat gambaran yang menakutkan apabila aku terpandang sesuatu yang boleh memantulkan imej. Sejak dari itu juga aku selalu mengelakkan diri daripada melihat cermin dikhalayak ramai. Jika aku ingin lihat pun aku akan pastikan tiada siapa yang ada bersamaku pada ketika itu. Pada mulnya aku tidak memberitahu sesiapapun tentang kejadian tersebut kerana aku takut mereka menuduh aku mengada-adakan cerita. Kisah itu kemas dalam bungkusan mindaku ini. Namun lama-kelamaan ianya menjadikan hidupku berserabut. Aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada matapelajaran kerana asyik teringatkan bayangan yang menakutkan.

Keluargaku tekad membawaku ke perubatan alternatif. Aku dibawa berjumpa dengan seorang ustaz yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang-bidag mistik sepertimana yang aku alami. Alhamdulillah, perubatan yang memakan masa selama sebulan itu, membuahkan hasil yang memberansangkan. Aku tidak lagi melihat perkara –perkara yang tidak diingini. Hidupku normal seperti biasa.

Sehinggalah usiaku menganjak ke 22 tahun perkara itu berulang kembali. Satu peristiwa yang aku tak dapat lupakan adalah apabila aku ternampak bayangan imej tukang cuci dicermin tandas yang tergantung disiling dalam keadaan yang menyayat hati. Matanya terbeliak menandakan kesakitan yang teramat sangat manakala janinnya terkeluar daripada perut. Sedangkan pada imej luar cermin aku lihat tukang cuci yang sedang mengandung itu, sedang membersihkan tandas walaupun mukanya tampak murung.

Seperti yang sudah aku jangkakan, seminggu selepas itu, satu universiti gempar dengan penemuan seorang mayat wanita yang tergantung di siling tandas. Keadaannya mengerikan. Matanya tersembul keluar serta janinnya juga terkeluar daripada rahim. Menurut sumber yang aku dengar , tukang cuci tersebut telah mengantung dirinya sendiri kerana tdak tahan dengan tekanan hidupnya yang sukar. Aku bingung. Aku jadi menggelabah kerana takut penyakit lamaku datang kembali. Seharian aku hanya berada didalam bilik memikirkan kejadian tukang cuci tersebut.

Azam, tunangku menefon untuk keluar makan dikafe. Ku tolak mentah-mentah. Aku tidak berselera. Beberapa kali dia mengajakku namun peristiwa tempoh hari masih segar dalam ingatan. Hilang mood ku untuk menjamah apa-apa pun. Aku tekad untuk memberitahu ibu dan ayahku apabila pulang cuti semester nanti.

Tut..tut..

Azam menelefon. Malasnya, bisik hati kecilku.
“ Assalamualaikum Sha, jom keluar makan?” Jemput Azam sopan.
“ Waalaikumsalam, kan Sha dah cakap Sha tak ada selera. Azam makanlah.” Ujarku geram.
“ Tak sayang Azam ke? Tak apalah orang tak sudi.” Merajuk pula mamat ni. Ah biarlah. Aku lagi runsing memikirkan masalah aku ni.

Keesokan harinya , ketika keluar daripada dewan kuliah, ku dengar Azam memanggil-manggil namaku. Langkahku terhenti. Kulihat Azam berlari-lari anak sambil membawa sekotak coklat. Barangkali untukku. Namun ada sesuatu yang mengejutkan aku. Kulihat imej Azam pada cermin dinding dewan kuliah mengerikan. Tangan kirinya terputus. Mukanya juga hampir tidak kukenali. Hancur. Terus aku menangis disitu juga. Tak mungkin!

Azam yang tadinya sudah berada dihadapanku pelik melihat tingkah laku ku. Aku tidak tahu bagaimana caranya untuk aku memberitahu Azam tentang apa yang aku lihat kerana selama ini cerita tentang kebolehanku melihat bayangan maut itu tidak pernah aku ceritakan kepadanya. Aku jadi marah sendiri. Semua mata yang keluar daripada dewan kuliah itu memandangku kerana tangisanku yang kuat. Azam juga jadi takut. Lalu dia membawaku ke tempat yang lebih tenang.

“ Jangan tinggalkan Sha,Azam. Please…”

“ Kenapa ni Sha? Azam kat sini ha..okay stop it. Sudah-sudah.”

 Azam tak faham. Aku tak mahu kehilangannya. Aku cintakan dia. Tambahan pula tidak lama lagi kami akan berkahwin. Bayangan itu membuatkan segala impianku hancur berderai.

Sejak daripada peristiwa aku melihat bayangan maut tunangku sendiri, aku jadi seperti orang gila. Setiap masa kalau boleh, aku ingin berada disamping Azam. Dalam sehari aku menelefonnya beberapa kali untuk memastikan keadaannya. Aku minta Azam memberitahu aku kemana sahaja yang dia pergi. Azam sendiri pelik dengan aku. Sebelum ini, aku yang susah menelefonnya. Kalau adapun hal-hal yang berkaitan dengan majlis kami. Aku dan dia sibuk di universiti. Jadi kami bukanlah pasangan yang sentiasa berkepit 24 jam. Bila Azam bertanya, aku diam seribu bahasa.

Sebulan berlalu, kulihat, Azam masih disisiku. Selalunya, orang yang kulihat pada imej itu akan mati, paling lama dalam seminggu setelah kulihat imej mereka. Aku menganalisis sendiri. Namun begitu aku tetap memerhatikan Azam, walaupun hatiku sedikit lega. Aku berharap sekurang-kurangnya izinkanlah aku berada lebih lama dengannya.

Panas kusangka hingga kepetang , kiranya hujan ditengah hari. Perkhabaran yang membuatkan aku hilang separuh daripada diriku itu akhirnya sampai kependengaranku. Sungguh aku tidak menyangka bahawa orang yang kucintai pergi jua. Tambah aku sesalkan kerana aku sudah mendapatkan petunjuk itu namun aku lalai. Berita kematian Azam yang telah disampaikan oleh Sarah memang memeranjatkan. Denyut nadi ibarat terhenti. Air mata menitis tanpa satu suara pun aku keluarkan.

Kata Lukman, kawan baik Azam, dia ingin ke kedai untuk membeli sesuatu buatku. Lukman kata , dia risau melihat keadaanku yang pelik dari biasa. Azam membeli sebuah hadiah kepadaku supaya aku gembira semula. Namun Tuhan lebih sayangkan dia. Menurut Lukman, ketika sampai disatu selekoh, sebuah treler telah melanggar Azam menyebabkan tangan kirinya putus dan sebahagian daripada mukanya hancur. Betul-betul seperti yang aku nampak didalam cermin itu.

Selepas kematian Azam, aku tertekan. Semua cermin yang ada di dalam bilik, aku buang keluar. Cermin itu celaka. Kalau tidak kerana cermin itu, aku tak kehilangan tunangku.fikiranku diluar kotak kewarasan. Aku lupa yang ajal dan maut itu kerja Tuhan. Sedangkan cermin itu adalah satu medium untuk aku memperingatkan diri ini betapa mati itu pasti dan semakin hampir.
Seminggu lamanya, aku seperti orang yang tidak mampu uruskan diri. Abaikan makan dan minum. Mandi tak tentu. Tidur tak lena. Kini, aku mengambil keputusan untuk menangguh pelajaranku di universiti.
Mama dan papa membawaku jauh dari KL. Mereka ingin mencari ketenangan buatku. Bila sampai di rumah Nek Jah, aku terus dibawa masuk kebilik. Aku hanya mengikut rentak mereka. Tanpa rasa apa-apa. Baju kurung putih yang kupakai pun mama yang sarungkan. Rambut,kubiarkan lepas ke paras bahu. Dibilik yang Nek Jah telah sediakan aku duduk dibirai katil sementara mama dan papa berada diluar berborak panjang dengan Nek Jah.

Aku terpandang sesuatu yang sudah lama aku tak pandang. Sesuatu yang selalu aku elak daripada memandangnya. Cermin! Aku terkejut melihat imej dicermin itu. Seorang wanita sebaya denganku. Kulihatnya dari bawah memakai baju kurung putih. Rambutnya paras bahu. Mataku tertancap ke bibirnya yang kebiruan. Kulitnya juga kulihat putih. Pucat. Ku renung mukanya….

Ya Allah! Wajahku. Aku terkejut. Sungguh terkejut. Kusentuh cermin itu. Memang aku. Cuma imejku pucat sedikit. Adakah aku akan… Aku rasa duniaku berputar. Pandangan mataku gelap. Aku ingin memanggil mama dan papa. Aku tak mampu. Terus sejurus selepas itu, aku rebah.

No comments:

Post a Comment