Budak-budak memandang aku dengan
pandangan yang aneh. Aku malu tapi ak buat muka 30 sen sahaja. Lantak
dioranglah. Aku turun kereta perlahan –lahan memastikan kaki aku tak menjejak
sepenuhnya ke tanah. Mungkin aku akan berjalan begini sepanjang 3 minggu. Perlahan-lahan
juga aku berjalan ke pejabat untuk ‘punch card’.
“Cikgu, kenapa kaki cikgu ni?”
tegur seorang pelajar perempuan. Matanya tak lepas memandang kakiku yang
berbalut.
“ Saya jatuh motor.” Jawabku
ringkas. Budak-budak ni kalau aku layan-layan, makin banyak pertanyaan mereka.
Lagipun aku kurang selesa, pastinya di bilik guru nanti persoalan yang sama
akan diutarakan oleh rakan-rakan guruku.
Lepas rehat aku ke kelas
tingkatan 2 Ikhlas. Jenuh aku membilang anak tangga jalan berjengket-jengket untuk
sampai kesitu. Apalagi pandangan mata dan tawa sinis pelajar. Nasib baik aku
dianugerahkan hati yang keras. Bak kata mama, aku mampu buat muka bodoh
walaupun dikutuk.
“Selamat pagi,cikgu.” Seru
pelajar-pelajar kelas 2 Ikhlas.
“ Si capik!” Tiba-tiba sahaja
nyanyian lagu dari siri TV Si Capik bergema di kelas tersebut mengundang tawa
satu kelas. Aku memandangnya tajam. Aku nak marah namun disudut hati ada juga
rasa nak tergelak sebab ku lihat wajah Faiz beria-ia menyanyi dengan ‘pitching’
yang berterabur.
“ Faiz, kamu kutuk cikgu, nanti
kamu tempang baru tahu!” Kataku dalam nada yang agak marah. Mereka semua diam.
Tahu perbuatan mereka itu melampau. Aku malas nak membiarkan marah aku
berpanjangan. Lagi baik aku diam. Lalu P&P pun diteruskan.
3 tahun kemudian….
“ Kemalangan ngeri melibatkan 7
orang maut dan 35 orang lagi cedera di Cameron Highland”
Berita dimuka hadapan benar-benar
menyentap dadaku. Mana taknya , semua yang terlibat merupakan orang-orang
sekitar kampungku. Mereka ke sana untuk lawatan kampung. Aku terus menghubungi
abah dikampung kerana aku ketika itu berada di UPSI menyambung pengajian.
Satu hari, apabila pulang ke
kampung, aku disapa oleh seseorang yang berkaki tempang.
“ Cikgu, masih ingat saya?” aku
tilik, aku memaksa neuron-neuron ini berkerja keras untuk mengembalikan memori.
Faiz! Ya Faiz pelajar aku ketika aku menjadi guru ganti satu ketika dahulu.
Kulihat kakinya.
“ Kemalangan kat Cameron, cikgu.”
Ujarnya bagai mengerti persoalan yang bermain diminda. Dia memandangku dan
terus berlalu setelah meminta maaf.
Aku jenuh berfikir mengapa dia
beria-ia meminta maaf pada aku. Si capik! Tiba –tiba lagu itu menjengah minda.
Oh ! baru aku tahu. Aku tak berniat mendoakan mu begitu.
P/S: Berdasarkan kisah benar
Kata2 seorang guru itu 1 doa.
No comments:
Post a Comment